Sejak tempoh PKP berkuatkuasa di negara kita, tumbuh pelbagai alternatif kepada gayahidup seharian masyarakat. Oleh kerana terdapat sekatan untuk berinteraksi secara bersemuka (face-to-face), alternatif dalam talian atau “online” menjadi pilihan. Dari aktiviti bazaar sehingga majlis akad nikah – semua menyediakan edisi “online”. Tidak ketinggalan juga bidang pendidikan, dari peringkat tadika sehingga universiti, semua menawarkan alternatif cara pembelajaran melalui “online”.
Dalam industri pendidikan awal kanak-kanak, ramai turut menggunakan pendekatan secara “on-line” seperti persidangan video (video conferencing), kelas maya (virtual classroom) dan penggunaan video sebagai medium pengajaran. Namun begitu, kesimbangan antara penggunaan teknologi dan aktiviti “hands-on” perlu dititikberatkan, kerana kanak-kanak tadika berusia 4-6 tahun lebih memerlukan ransangan secara fizikal yang menyeluruh.
Melihat kembali kepada matlamat pendidikan pra-sekolah seperti yang dinyatakan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), salah satunya adalah untuk mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek Jasmani , Emosi , Rohani , Intelek , Sosial (JERIS). Oleh itu bagi para pendidik, apabila menyediakan aktiviti pembelajaran, pastikan ianya merangkumi kesemua aspek tersebut, dan penggunaan media “on-line” hanya sebagai medium pengantaraan, BUKAN medium pembelajaran.
Kita ambil contoh dalam pembelajaran konsep nombor atau bilangan objek. Pendekatan yang tidak seimbang adalah guru hanya mengajar melalui video pada masa yang telah ditetapkan, dan menyediakan latihan (worksheets) secara online untuk dijawab secara latih tubi oleh kanak-kanak. Mengapa ianya dianggap tidak seimbang? Kerana ianya secara sehala. Guru mengajar dengan tempoh masa yang telah ditetapkan, walaupun kadangkala kanak-kanak tidak bersedia untuk menerima pengajaran tersebut. Latihtubi secara online tidak membuka ruang untuk kanak-kanak meneroka apa yang mereka belajar dengan kehidupan seharian mereka. Ianya juga boleh membosankan kanak-kanak jenis kinestetik yang memerlukan pergerakan untuk belajar dengan lebih berkesan.
Bagaimana untuk menjadikan ianya pendekatan yang lebih seimbang?
Sediakan rancangan pembelajaran yang berbentuk projek atau aktiviti, contoh “Jom Memasak” di mana guru memberi panduan kepada ibubapa bagaimana mereka boleh melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti memasak sambil membantu kanak-kanak mengenal dan memahami konsep nombor.
Sumber foto: FB Alimkids Bangi. Kerjasama ibubapa amat penting dalam membantu pembelajaran kanak-kanak di rumah.
Melalui aktiviti ini kanak-kanak boleh mengira bawang, tomato, dan bahan-bahan masakan. Boleh ajar sekali kemahiran hidup seperti mengupas bawang, memotong sayur, memukul telur sebagai aktiviti ransangan fizikal dan sensori. Ibubapa menyokong pembelajaran ini dengan mengambil video kanak-kanak memasak dan memuatnaik ke kelas maya. Guru boleh mengukuhkan pemahaman kanak-kanak pada sesi video yang seterusnya dengan merujuk kepada aktiviti yang telah dilakukan. Ucapan pujian dan galakan kepada kanak-kanak atas usaha mereka akan membantu mengembangkan keyakinan diri mereka dan keseimbangan emosi.
Melalui pendekatan yang pelbagai ini, kanak-kanak tidak bergantung sepenuhnya kepada alatan elektronik dan gajet. Kesan negatif pendedahan gajet kepada perkembangan kanak-kanak telah banyak dibincangkan sebelum ini, dan kita tidak mahu ianya menjadi-jadi disebabkan oleh kekhilafan kita.
Nasihat kepada para pendidik – utamakan kesejahteraan kanak-kanak terutamanya di masa yang mencabar ini. Seperti yang kita ketahui, kanak-kanak perlu interaksi sosial bersama rakan-rakan sebaya. Namun keadaan sekarang tidak mengizinkan mereka berbuat demikian. Tentunya emosi mereka terganggu. Oleh itu, kita sebagai pendidik harus menyediakan sokongan dari aspek sosial dan emosi mereka. Gunakan interaksi online sebagai interaksi yang mesra dan mengisi peti emosi mereka (emotional bank). Apabila mereka gembira dan tenang, insyaAllah, lebih mudah untuk mereka menerima ilmu yang disampaikan.
Nasihat kepada ibubapa – sebagaimana kita sebagai orang dewasa merasa stres pada masa ini, bayangkan bebannya kepada kanak-kanak. Oleh itu, lebihkan empati kepada anak-anak. Bagi ruang untuk mereka “cool down” tetapi pada masa yang sama berikan sokongan untuk mereka meneruskan aktiviti pembelajaran. Inilah masa untuk ibubapa melibatkan diri dengan lebih mendalam dalam aspek pendidikan anak-anak. Yakinlah, usaha anda amat dihargai oleh anak anda.
Walaupun ini adalah “new normal”, perkembangan holistik yang sihat di kalangan kanak-kanak peringkat tadika perlu diberi keutamaan kerana ianya menjadi asas kepada kemenjadian mereka sebagai dewasa yang berjaya di masa hadapan.
Lily Maznah Muas, M.Ed Early Childhood Education.
(Lily Maznah Muas, merupakan pengasas ALIMKids, sebuah program pendidikan awal kanak-kanak berkonsepkan “Islamic Play-Based” sejak 2006).