Ramadan Buat Si Kecil

Ramadan yang sangat dinanti-nantikan sudah semakin menghampiri. Sambil menyiapkan diri kita untuk bertemu bulan yang mulia ini, jangan lupa untuk mengajak anak-anak kita untuk sama-sama membuat persediaan. Namun begitu sudah tentu timbul persoalan di kalangan ibu bapa, “Bagaimanakah caranya untuk memperkenalkan Ramadan kepada anak-anak yang masih kecil?”

Bagi kanak-kanak yang masih belum baligh, amalan berpuasa tidak wajib kepada mereka.  Namun begitu kita sudah boleh memperkenalkan kepada mereka tentang maksud serta kelebihan bulan Ramadan.  Biar mereka teruja serta rasa bersyukur kerana dapat menyambut bulan yang mulia ini. Terdapat banyak cara untuk memperkenalkan Ramadan kepada anak-anak yang masih kecil. Berikut adalah beberapa cara yang boleh diikuti.

Sama-sama Menghayati Pengertian Ramadan

Ramadan sesungguhnya merupakan bulan yang sangat istimewa kepada umat Islam. Ianya merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Pada bulan ini, kita melakukan banyak solat-solat sunat, malahan amalan bersedekah serta amalan-amalan kebajikan lain diberi pahala yang berlipat kali ganda. Dapatkan buku-buku cerita yang bertemakan Ramadan atau cari video online yang berkongsi tentang kisah bulan mulia ini.

Foto dari Alimkids Bukit Jelutong

Kongsikan Tentang Amalan Di Bulan Ramadan

Anak-anak pastinya akan tertanya-tanya mengapakah kita tidak dibenarkan untuk makan atau minum sepanjang hari semasa Ramadan. Terangkan kepada mereka bahawa berpuasa adalah perintah daripada Allah dan merupakan satu daripada Rukun Islam. Sebagai umat Islam kita mestilah patuh terhadap segala suruhanNya kerana Dia lah yang menjadikan kita dan tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Kita cuma tidak dibenarkan untuk makan atau minum pada siang hari, tetapi pada malam hari kita masih boleh makan dan minum seperti biasa. Oleh itu kita masih mempunyai tenaga dan memperolehi khasiat yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan badan.  Kanak-kanak juga mungkin bertanya adakah kita akan berasa lapar semasa berpuasa? Terangkan kepada mereka bahawa ini adalah cara untuk kita memahami apa yang dirasai oleh golongan yang kurang bernasib baik yang tidak mendapat makanan yang mencukupi .  Dengan berpuasa kita dapat merasakan empati kepada mereka.  Ajar anak-anak supaya tidak membazir dan ingat kepada kanak-kanak lain yang tiada makanan sebelum membazir makanan atau minuman.

Bulan Untuk Memberi

Bulan Ramadan bukanlah semata-mata tentang berpuasa.  Ianya juga adalah bulan untuk kita memberi.  Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkenalkan kepada anak-anak tentang kerja-kerja kebajikan.  Ada banyak organisasi yang melakukan aktiviti kebajikan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan pada bulan ini.  Kongsikan dengan anak-anak cara bagaimana mereka boleh sama-sama membantu.

Semasa Ramadan juga kita perlu menunaikan ibadat Zakat Fitrah. Terangkan maksud zakat kepada anak-anak serta kemanakah wang zakat dibelanjakan. Terangkan juga bahawa ini adalah satu cara kita memberi, di mana orang yang mempunyai lebihan harta memberikan sebahagian daripadanya kepada orang yang tidak berkemampuan.

Rahmat Lailatul Qadar

Lailatul Qadar merupakan malam yang sangat istimewa di mana Allah menurunkan rahmatNya kepada manusia melalui para malaikat.  Terangkan kepada anak-anak tentang malam istimewa ini yang berlaku pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir Ramadan. Galakkan mereka untuk berzikir, membaca Al-Quran serta sama-sama berdoa.  Sepuluh malam terakhir ini biasanya agak mencabar kerana kita semakin hamper kepada garisan penamat serta keterujaan untuk menyambut Aidilfitri. Oleh itu adalah penting untuk kita sebagai ibu bapa untuk kekal fokus mencari Lailatul Qadar supaya anak-anak juga akan terikut.

Raikan Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri! Hari yang amat dinantikan terutamanya oleh kanak-kanak.  Hargailah setiap usaha anak-anak sepanjang Ramadan.  Biar mereka tahu bahawa Allah mengetahui yang mereka telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan ganjaran Ramadan.  Sambil anak-anak bergembira dengan sambutan Aidilfitri,  ingatkan mereka tentang kelebihan bulan Ramadan, dan segala yang telah mereka pelajari sepanjang bulan tersebut.  Ingatkan mereka agar berusaha untuk terus kekal menghayatinya di dalam kehidupan sepanjang masa.

Muat turun Carta Ramadan dan Ramadan Journal percuma di pautan ini: https://alimkids.com/ramadan-downloads/

Selamat menyambut Ramadan yang mulia!